Tuesday, January 16, 2007

di pagi itu

di pagi itu
aku bangun, syukur dan mengerakkan isteri dan anak
secangkir milo untuk anakku, menggesa isteri agar segera
mendukung sikecil ke bangku kereta

di pagi itu
memandu menghadap sesak, mengejar masa dengan isteri
terlihat di depan sekujur tubuh di jalan
berlitup di sebelah motor dibawah lori

di pagi itu
kumemohon kesabaran diberiNya pada keluarga situbuh
bila hampir aku cuba antara pandang dengan tidak
kunyata pada isteri kita masih sangat bernasib baik

di pagi itu
aku dan isteri hilang sedikit masa, sedikit keselesaan
tapi ada anak kehilangan bapa, isteri kehilangan suami
dan ibubapa kehilangan anak....

di pagi itu
terfikir bagaimana sianak, siisteri mahu siibu dan bapa
menerima berita yang bukan berita
yang merentap sejenak keceriaan, yang membawa hiba

di pagi itu
aku terfikir betapa rapuh hidup
tubuh terbujur itu boleh jadi aku
mengapa dia dan tidak aku...hanya Dia yang mengetahuinya

di pagi itu
bagaimanakah agaknya bila anak dan isteri kehilanganku
mungkin aku tidak akan tahu setahunya kerana 'urusanku'
keadaan itu tanpa mahuku boleh terjadi

di pagi itu
aku mengaku di depanNya
bahawa aku masih berharap untuk dipanjangkan usia
untuk menemui anakku, isteriku dan 'menemui' diriku

di petang itu
kupanjatkan syukurku dan kuhulurkan doaku padaNya
sambil mendengar celoteh sikecil, sambil melayan siabang
sambil merenung isteri tercinta


nahmy 16/1/2007

0 comments: